Rabu, 9 November 2011

FALSAFAH PENDIDIKAN BERSEPADU

FALSAFAH PENDIDIKAN BERSEPADU



PENDAHULUAN

      Kebanyakan orang salah faham tentang pendidikan Islam yang sebenarnya.  Bagi mereka apabila disebut pendidikan Islam, ia hanya berlegar disekitar ilmu-ilmu agama seperti Fikah, Tasawuf, Tauhid, Hadis dan al-Quran.  Sebenarnya anggapan itu salah.

      Ilmu-ilmu yang disebutkan itu hanyalah sebahagian dari pendidikan Islam.  Apa yang ditekankan dalam aspek pendidikan Islam ini ialah bagaimanakah untuk melahirkan seorang manusia yang syumul, memiliki ilmu yang boleh dimanfatkan untuk agama dan bangsa.  Seseorang itu mungkin seorang jurutera, doktor, usahawan atau apa sahaja tetapi dalam kehidupannya tercermin nilai-nilai Islam disamping bidang kepakaran yang dimilikinya. 

      Sejauhmana pendidikan Islam itu dihayati dan dijadikan paksi dalam pendidikan negara kita ?  Terutama kepada anak bangsa kita yang merupakan aset negara yang paling berharga.  Sudah pasti corak pendidikan akan disebarkan melalui alam persekolahan semenjak dari persekolahan rendah lagi.  Dengan itu, usaha yang berterusan ke arah menyepadukan antara ilmu dan perlakuan terus diberikan perhatian yang sewajarnya.













Bahagian I

KONSEP PENDIDIKAN BERSEPADU

Definisi

i) Konsep

      Menurut Kamus Dewan konsep ialah pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu.[1] Mengikut Thomas Green, konsep ialah peraturan.  Dengan jalan fikiran seperti ini, apabila seseorang itu telah mempelajari sesuatu konsep, apa yang telah dipelajarinya ialah peraturan, sama ada peraturan bahasa atau peraturan tingkahlaku.[2]


ii) Pendidikan

Dari sudut epistemologi pendidikan dari akar kata “didik” yang membawa maksud pelihara, jaga (dengan hati-hati) dan ajar.  Manakala Pendidikan ialah perihal mendidik, melatih dan mengajar.[3]  Dalam bahasa Arab, pendidikan diistilahkan sebagai “ta’lim” atau “tarbiyah” atau “ta’dib” iaitu mengajar, memelihara atau memberi ilmu.[4]

Beberapa tokoh pendidik di bawah memberikan definisi pendidikan menurut istilah yang berbeza-beza ;

  1. John Dewey mendefinisikan pendidikan sebagai proses membentuk kecenderungan asasi yang berupa aqliah dan perasaan terhadap alam serta sesama manusia.[5]
  2. Dr. John Park berpendapat pendidikan sebagai suatu seni atau proses menyampai atau memperoleh ilmu pengetahuan dan tabiat melalui tunjuk ajar atau pengkajian.[6]
  3. Langgulung Hassan (1987) mendefinisikan pendidikan sebagai satu bentuk interaksi manusia.  Ia adalah suatu tindakan sosial yang dimungkinkan berlakunya melalui suatu jaringan hubungan kemanusiaan.  Jaringan-jaringan ini bersama dengan hubungan dalam peranan individu di dalamnya yang membentuk watak pendidikan masyarakat.[7]

      Pendidikan disimpulkan ialah faktor penting di dalam sistem kehidupan manusia. Bentuk dan aliran pendidikan yang menjadi faktor mengubah kehidupan manusia. Sistem  dan konsep pendidikan haruslah menitikberatkan tentang pembangunan insaniah dan tidak hanya menumpukan kepada pembangunan aspek fizikal sahaja.

iii) Sepadu

      Menurut Kamus Dewan Sepadu membawa makna berkaitan erat (tidak terpisah-pisah) berjalin, bertahan erat (antara pelbagai unsurnya).[8]





iv) Definisi Pendidikan Bersepadu

      Berbagai pendapat telah dinyatakan oleh beberapa tokoh pendidikan mengenai definisi pendidikan bersepadu ini.  Menurut Hj Awang Mahmud Saedon (2003) pendidikan bersepadu ialah pendidikan yang bersumberkan, berpaksikan, dipimpin, dan berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah.[9]  Ianya adalah sebuah konsep pendidikan yang diperkenalkan bagi usaha mengatasi pengaruh sekularisme ke atas sistem pendidikan Islam.

      Ahmad Mohd Salleh (2008) menyatakan konsep pendidikan bersepadu merupakan keistimewaan Islam.  Ia berlawanan sekali dengan aliran pemikiran Barat yang memisahkan ilmu kepada dua bahagian yang disebut sebagai teologi dan sains atau religious knowledge di Barat.[10]

      Menurut Mohd Kamal Hassan (1981) dalam Islam, bidang teologi dan sain tidak bercanggah antara satu sama lain dan saling melengkapi.  Kedua-duanya lahir dari pandangan yang satu iaitu Tauhid.  Dalam pendidikan ini, walaupun terdapat beberapa pembahagian ilmu seperti ilmu akidah, syariah dan akhlak, namun ia tetap berada dalam satu lingkaran konsep bersepadu yang membawa keseimbangan antara akal dengan wahyu.[11]

      Dari penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa konsep pendidikan bersepadu itu ialah pendidikan yang menjadikan manusia sebagai insan kamil yang meliputi ilmunya ilmu duniawi dan ukhrawi.  Manusia yang berilmu tidak memisahkan agama dan sains.  Ilmunya memertabatkannya menjadi orang yang pakar dan ilmuan disamping tercermin nilai-nilai Islam dalam kehidupannya.


Rasional Konsep Pendidikan Bersepadu

      Apakah rasionalnya konsep pendidikan bersepadu itu?  Sebelum menjawab soalan tersebut ada baiknya kita hayati petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Sempena Sambutan Hari Guru Kali Pertama, di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada 15 Rabiulawal 1412H bersamaan 23 September 1991 :

      Kita adalah turut memahami, bahawa masa depan negara memerlukan sistem pendidikan yang dapat mengubah corak kehidupan rakyat, dari tidak maju kepada maju, atau dari kurang maju kepada cukup maju terutama di bidang-bidang yang selalu menjadi buruan orang, seperti bidang industri dan teknologi.  Tetapi dalam masa yang sama kita juga wajib mengekalkan nilai-nilai luhur dan moral yang tinggi.

      Tegasnya kita tidak mahu pendidikan kita hanya sekadar untuk mengisi otak dengan bahan-bahan yang mentah dan kering, tetapi apa juga ilmu yang dihidangkan itu hendaklah bersepadu dengan nilai-nilai akhlak dan ugama.[12]

         Jelas daripada kenyataan titah Kebawah Duli mengenai nilai-nilai luhur akhlak dan ugama itu yang menjadikan pendidikan kita menjadi paksi kemajuan dan ketahanan nasional.  Inilah jawapan bagi rasionalnya pendidikan bersepadu itu.   Nilai dan Pengetahuan Islam sentiasa bergandingan di dalam sistem pendidikan yang menjadikan anak-anak Muslim bangsa Brunei memperolehi ilmu keduniaan di samping pengasuhan intelektual dan rohaniah daripada segi agama.

      Pada masa kini kita sememangnya mengamalkan sistem pendidikan yang cenderung ke Barat.  Oleh itu kemajuan yang kita perolehi juga banyak mencorakkan cara berfikir dan cara hidup terbuka kepada pengaruh-pengaruh Barat.  Dalam konteks ini, kita tidak menolak kebaikan unsur-unsur yang dibawa dari Barat itu, cuma ukuran kebaikan itu bagi kita biarlah mengikut ukuran dan sukat-sukat kita, bukan mengikut-ikut orang lain, walau bagaimanapun, dengan pertimbangan yang sihat lagi waras, berpandukan wahyu Ilahi, kita berupaya memilih mana yang baik dan mana yang kurang baik untuk generasi kita, namun demikian sebaik-baik pilihan adalah pilihan mencari keredhaan Allah untuk mendapatkan kesenangan hidup di dunia dan di akhirat.

      Justeru itu kerja membangun kurikulum dan ko-kurikulum hendaklah bersandarkan ugama Islam al-Quran dan as-Sunnah.  Ini bererti sekular Melayu Barat dan sekular Melayu Islam hendaklah duduk bersama-sama di meja bundar untuk berbincang, bermesyuarat dan bermuzakarah bagi merumuskan sebuah module yang boleh diguna pakai dan bersesuaian dengan sistem Negara Brunei Darussalam yang mengamalkan falsafah Melayu Islam Beraja.[13]


Bagaimana Melaksanakan Pendidikan Bersepadu

      Pendidikan bersepadu hendaklah dilaksanakan di dalam darjah-darjah di sekolah dan kegiatan tambahan di luar sekolah, malahan juga dalam masyarakat.  Ini bermakna, pendidikan bersepadu hendaklah menyeluruh dan meliputi ketiga-tiga jenis pendidikan iaitu pendidikan formal, non-formal dan informal hendaklah  juga bersepadu.

      Falsafah pendidikan bersepadu adalah untuk mewujudkan sistem di mana tidak wujud apa yang dikatakan pendidikan ugama dan sekular, kurikulum ugama dan sekular, dan mata pelajaran ugama dan sekular.  Yang ada hanyalah satu iaitu, pendidikan bersepadu yang mana ianya dibina di atas falsafah pendidikan yang satu dan mempunyai matlamat pendidikan yang sama.  Semua kurikulum, kursus dan mata pelajaran dan termasuklah kegiatan tambahan di luar kelas bertujuan untuk melaksanakan dan menjayakannya.[14]

      Dari segi bahan untuk pengajaran dan pembelajaran seperti buku-buku teks hendaklah disesuaikan dengan maksud-maksud Ugama Islam.  Ini bermaksud, bahawa isi pelajaran atau ilmu pengetahuan yang terdapat dalam setiap mata pelajaran yang dianjurkan di sekolah-sekolah sepatutnya berkisar dan berdasarkan kepada pengajaran dan prinsip Islam.[15] Pemilihan guru-guru yang berkelayakan dan mahir dalam hal ehwal pengetahuan Islam diarahakan untuk menghadiri kursus penulisan buku teks di institusi-institusi luar negeri yang established bagi mengelakkan pergantungan berlebihan ke atas buku-buku teks luar negeri.  Alhamdulillah, negara kita telah pun berusaha mengorak langkah melaksanakan perkara ini.  Pengambilan guru-guru Islam yang mempunyai kepakaran dalam bidang ilmuan duniawi dan ukhrawi sekitar kawasan ASEAN perlu dititikberatkan kerana ianya memenuhi hasrat menciptakan budaya pendidikan bersepadu yang berlandaskan budaya Asia generasi kita.  Pendidikan bersepadu akan dapat dilaksanakan dengan jayanya jika sistem pengajaran dan pembelajaran semuanya berunsurkan islami.


Melahirkan Insan Yang Berpendidikan Sepadu

      Untuk melahirkan pelajar yang berakhlak dan berintelektual, usaha pertama ialah dengan menghayati ilmu wahyu bersama-sama dengan ilmu akal. Pendidikan yang dapat membina manusia secara bersepadu dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani perlu diwujudkan. Kita jangan terlalu pasif dan liberal. Hendaklah selalu mencari dan menghayati nilai hidup yang unggul dan benar. Kita perlu identiti pendidikan kita sendiri yang sesuai dengan kehendak agama, bangsa dan tanah air dalam mengharungi dunia pendidikan semasa dan akan datang. Meniru dan mengamalkan pendidikan Barat secara total adalah sikap yang tidak bijak. Dalam hal ini falsafah, matlamat dan kurikulum haruslah menurut budaya setempat dan tidak menyalahi kehendak agama Islam.

Pendidikan Bersepadu Tanggungjawab Bersama

      Siapakah yang bertanggungjawab merealisasikan pendidikan bersepadu khususnya di Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini?  Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah kesepaduan masyarakat di negara ini yang saling lengkap melengkapi, bekerjasama, saling berkorban dengan masa, harta dan tenaga demi mewujudkan kesempurnaan syakhsiah generasi yang berilmu untuk menghadapi cabaran-cabaran abad ke 21.

      Namun yang pertama bertanggungjawab untuk merealisasikan pendidikan bersepadu di negara ini ialah pihak kerajaan yang diamanahkan untuk menggubal serta menyusun kurikulum pendidikan.  Falsafah pendidikan negara  hendaklah berasas, bersumber dan berteraskan pendidikan Islam dan sesuai dan serasi serta menggambarkan kehendak falsafah negara Brunei Darussalam.  Pendidikan Islam adalah pendidikan sepadu, yang demikian kurikulumnya juga hendaklah bersepadu.  Tidak dikatakan sesuatu pendidikan itu sebagai pendidikan Islam melainkan adanya kesepaduan dalam pendidikan tersebut.

      Kejayaan kurikulum bersepadu ini memerlukan kepada pengislaman ilmu.  Pengislaman ilmu ini hendaklah dilakukan dengan cara teratur dan berkesan.  Ianya memerlukan kepakaran.  Matlamatnya adalah untuk memastikan semua ilmu yang diajarkan tidak bertentangan dengan ajaran dan nilai Islam.[16] Maka dengan itu ianya perlu dikaji dengan teliti oleh mereka yang bijak pandai yang mempunyai kepakaran, jujur dan boleh dipercayai.  Mereka itu seelok-eloknya biarlah terdiri dari anak bangsa sendiri yang bersifat amanah agar urusan yang dijalankan itu bukan sahaja perbelanjaannya murah, tetapi apa yang lebih penting selok belok hasil penyelidikan itu tidak diselewengkan kerana penyusunan penentuan ilmu pengetahuan ini menjadi asas utama kepada pembangunan generasi yang mapan, supaya setiap rakyat itu berilmu dan mempunyai pekerjaan atau perusahaan yang boleh menjamin nasib hidup mereka seperti yang dikehendaki oleh Allah S.W.T.[17]

      Seterusnya pihak yang bertanggungjawab merealisasikan pendidikan bersepadu itu ialah guru yang mempunyai ilmu pengetahuan yang meluas, menggunakan kaedah pengajaran yang mudah dan berkesan, mahir  dalam bidang  ICT, sentiasa up to date meningkatkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa dan yang paling penting adalah mempunyai akhlak yang mulia dan sempurna, taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta komited dalam pekerjaannya menyempurnakan tugas yang diamanahkan kepadanya mendidik dan mencorak anak bangsa menurut kehendak calak Brunei bagi menyempurnakan maksud penghayatan kepada falsafah negara Melayu Islam Beraja.

      Ibubapa juga adalah pihak yang sama-sama bertanggungjawab dalam pendidikan bersepadu.  Sokongan mereka dan keprihatinan mereka membantu merealisasikan penghayatan konsep penidikan bersepadu dikembangkan di dalam institusi keluarga sehari-hari.  Ibu bapa menjadi role model iaitu ikutan anak agar tiada percanggahan budaya di sekolah dengan budaya di rumah.  Ibu bapa perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, tidak ketinggalan dengan isu-isu semasa terutama yang berhubung dalam pendidikan, mengamalkan cara hidup sihat dan yang utama sekali adalah taat berugama, berakhlak mulia serta mewujudkan suasana keislaman di rumah.

     Dengan itu, kesepaduan antara pihak kerajaan, pihak sekolah dan pihak ibu bapa adalah mereka-mereka yang utama dalam bertanggungjawab merealisasikan konsep pendidikan bersepadu itu.  Di samping masyarakat sekeliling juga secara tidak langsung dituntut untuk turut sama menjayakan konsep pendidikan bersepadu ini.




Bahagian II

PELAKSANAAN KONSEP PENDIDIKAN SEPADU DI SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

  Pengenalan 

      Konsep pendidikan sepadu sebagaimana yang telah dijelaskan adalah pendidikan yang tidak memisahkan agama dan sains.  Sejak pendidikan formal mula diperkenalkan di negara Brunei Darussalam pada tahun 1914  oleh British, tidak dinafikan bahawa wujud dua aliran pengetahuan iaitu pengetahuan agama dan pengetahuan sekular.  Ini adalah berpunca daripada tindakan pihak penjajah yang telah memperkenalkan sistem berkenaan demi kepentingan mereka dan menyebar luaskan pemahaman mereka.  Akibatnya, generasi muda terus diasuh dengan kefahaman yang memisahkan agama dengan kehidupan.

      Namun atas kprihatinan pihak kerajaan dalam membuat kajian, rumusan dan pelaksanaan mengubah sistem tersebut tahap demi tahap melalui pembentukan dasar-dasar pendidikan 1954, 1962, 1972, Dwi Bahasa 1985, Dasar Pendidikan 12 Tahun 1993, Skim Rintis Sekolah Sehari Suntuk (SRSSS) serta Skim Rintis Sistem Pendidikan Bersepadu (SRSPB): 2001-2005 dan akhirnya yang terkini pendidikan abad ke 21 iaitu SPN abad 21.  Beberapa dasar diselaraskan dengan kehendak falsafah negara Melayu Islam Beraja agar menjadikan generasi kita bercorak mengikut calak Brunei.

      Sehingga kini tahun 2011 pendidikan di era globalisasi ini penuh dengan cabaran, hambatan, sarat dengan niali-nilai budaya dunia yang kompleks, mewajibkan kita untuk membuat penilaian dan pemilihan dengan kerjasama daripada semua pihak memantau serta meneliti corak pendidikan mana yang sesuai mengisi batang tubuh anak-anak generasi kita. 


Sekolah-Sekolah Rendah Negara Brunei Darussalam

      Sekolah-Sekolah Rendah adalah institusi rendah tempat kanak-kanak yang majoriti umurnya antara 6 hingga 12 tahun menimba ilmu pengetahuan yang bermula dari darjah pra hingga darjah enam.  Sekolah ini dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam di bawah pentadbiran Jabatan Sekolah-Sekolah.  Mengikut statistik Kementerian Pendidikan tahun 2008 sebanyak 120 buah sekolah rendah kerajaan dan 83 buah sekolah rendah swasta di seluruh negara.[18]

      Sistem pendidikan sekolah rendah pada masa ini dilaksanakan di bawah sistem pendidikan negara abad 21 yang mana telah diperkenalkan sejak awal tahun 2009.  Pada tahun-tahun kebelakangan sebelum 2009, sekolah rendah negara Brunei Darussalam telah melalui sistem pendidikan mengikut dasar-dasar pendidikan yang telah digariskan oleh pihak kerajaan.  Perubahan demi perubahan sistem pendidikan yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan di kalangan generasi Brunei Darussalam serta menyesuaikannya dengan kehendak  perkembangan dan keperluan global.


Sejarah Ringkas Pelaksanaan Sistem Pendidikan Sepadu (2002-2005)

      Sistem Pendidikan Sepadu pernah dilaksanakan secara rintis di Negara Brunei Darussalam mulai tahun 2002 hingga akhir tahun 2005.  Skim Rintis Sistem Pendidikan Bersepadu (SRSPB) ini merupakan proses penggabungan mata pelajaran umum dan agama yang diolah dalam satu jadual waktu persekolahan.  Dalam kata lain, pendidikan umum dan agama tidak berasingan dan kedua-dua pendidikan ini dilaksanakan setara sama penting kepada seluruh murid.

     

Antara tujuan pelaksanaan Pendidikan Bersepadu itu adalah :
1.      Merealisasikan falsafah dan matlamat pendidikan negara.
2.      Mendukung hasrat Kerajaan melaksanakan penempatan sepenuhnya Sekolah-Sekolah agama di bawah Kementerian Pendidikan (satu bumbung).
3.      Menyempurnakan Sistem Pendidikan Bersepadu dengan pengenalan program : Skim Rintis Sekolah Sehari Suntuk.[19]

      Melalui sistem ini, dihasratkan untuk menangani masalah pelajar-pelajar yang keciciran dari mempelajari pendidikan agama di mana menurut kajian ketika itu lebih kurang 30% anak Brunei tidak mengikuti pelajaran atau pendidikan agama disebabkan ketidakupayaan ibu bapa atau penjaga menghantar anak-anak mereka ke sekolah ugama, kesuntukan masa dan beberapa alasan lain disamping dapatan pelajar yang tidak menyelesaikan pendidikan agamanya hingga ke darjah 6.[20]

      Namun, sistem ini kurang berjaya disebabkan berbagai faktor yang akhirnya Jabatan Pengajian Islam yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah-sekolah Ugama, diserahkan kembali ke Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Walau bagaimanapun, usaha tersebut perlu diberikan pujian kerana sistem pendidikan ketika itu bertungkus lumus dalam menyediakan pendidikan yang cuba  mengislamisasikan ilmu pengetahuan dalam semua mata pelajaran.

Kajian Pelaksanaan Konsep Pendidikan Sepadu Di Sekolah Rendah
     
      Kajian telah dibuat melalui dua jenis sekolah iaitu sekolah kerajaan dan swasta di Negara Brunei Darussalam.  Sejauh mana pelaksanaan konsep pendidikan sepadu yang telah kita fahami berjalan dalam pengajaran dan pembelajaran, sama-samalah kita merumuskannya dalam kajian kita di kedua-dua jenis sekolah berkenaan.  



Pelaksanaan Sepadu Dari Sudut Iklim Bilik Darjah

v     Di Sekolah Rendah Kerajaan
Susunan tempat duduk dan meja tulis murid ada sebahagian kelas mencampurkan murid lelaki dan perempuan dan duduk berhampiran.  Manakala sebahagian kelas tidak. 

Pakaian murid lelaki dan perempuan kemas dan menutup aurat menurut yang digariskan oleh syarak. 

v     Di Sekolah Rendah Swasta
Susunan tempat duduk  dan meja tulis murid didapati majoriti kelas mencampurkan murid lelaki dan perempuan dan duduk berhampiran. 

Pakaian murid lelaki dan perempuan kemas tetapi murid perempuan tidak diwajibkan memakai tudung.

Pelaksanaan Sepadu Dari Sudut Bahan Pengajaran

v     Di Sekolah Rendah Kerajaan
Buku-buku teks yang disediakan adalah 100% diterbitkan oleh Kerajaan Brunei Darussalam.  Di dalam setiap matapelajaran majoriti isi kandungannya mencorakkan nilai-nilai budaya Melayu Islam Beraja seperti gambar-gambar, eksprimen-eksprimen, selitan ayat-ayat al-Quran, nasihat dan sebagainya.

Bahan ICT diajarkan mengikut keperluan dan mengikut garis panduan sukatan pelajaran.



v     Di Sekolah Rendah Swasta
Buku-buku teks diterbitkan sebahagiannya oleh Kerajaan Brunei Darussalam dan sebahagiannya lagi diterbitkan oleh sekolah itu sendiri.  Menurut kajian, buku-buku terbitan sekolah tersebut, kurang menerapkan nilai-nilai budaya Melayu Islam Beraja apatah lagi ayat-ayat al-Quran atau nasihat.  Gambar-gambarnya tidak berunsur sosial menurut pandangan Islam.

Bahan ICT diajarkan mengikut keperluan dan mengikut garis panduan sukatan pelajaran.

Pelaksanaan Sepadu Dari Sudut Aktiviti Pengajaran Dan Pembelajaran

v      Di Sekolah Rendah Kerajaan
Pakaian guru-guru lelaki dan perempuan berpakaian mengikut etika perguruan yang digariskan. 

Murid-murid mengucapkan salam ketika guru mula memasuki kelas diikuti dengan ucapan Selamat Pagi / Petang (bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang menggunakan Bahasa Melayu) atau ucapan Good Morning / Afternoon (bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang menggunakan Bahasa Inggeris).  Kemudian diikuti lagi dengan bacaan doa memulakan pembelajaran.

v     Di Sekolah Rendah Swasta
Pakaian guru-guru lelaki (Islam dan non-Islam) adalah kemas tetapi guru perempuan ada sebahagiannya berpakaian tidak mengikut etika perguruan yang sewajarnya terutamanya di kalangan guru bangsa asing.   Tidak bertudung bagi mereka adalah suatu yang lumrah dan ada juga guru perempuan di kalangan yang beragama Islam memakai pakaian yang menjolok mata.

Murid-murid hanya mengucapkan salam kepada guru ugama sehaja tetapi tidak kepada guru yang mengajar mata pelajaran umum termasuk Inggeris.  Ucapan lebih kepada kemahiran dalam bahasa Inggeris seperti Good Morning, Good Afternoon, Good Evening dan sebagainya tanpa diikuti selepasnya dengan bacaan doa.

Pelaksanaan Sepadu Dari Sudut Ko Kurikulum Sekolah

v     Di Sekolah Rendah Kerajaan
Perbarisan yang diadakan tidak mencampur adukkan antara murid lelaki dengan perempuan.  Pengisian dalam aktiviti perbarisan diselitkan dengan bacaan doa dan unsur nasihat.

Pergaulan dalam bersukan tidak dibatasi, tetapi dari sudut pakaian, murid-murid lelaki kelihatan kemas dan menutup aurat manakala murid perempuan diwajibkan memakai tudung (khas untuk bersukan). 

Ketika murid-murid terlibat membuat persembahan di dewan atau berkumpul mengadakan aktiviti beramai-ramai, pembatasan pergaulan tidak konsisten.  Ada masanya dibatasi dan ada masanya tidak.

Aktiviti ko-kurikulum yang dianjurkan dibatasi mengikut persesuaian antara murid lelaki dan perempuan. 


v     Di Sekolah Rendah Swasta
Perbarisan yang diadakan, ada sekolah yang mencampur adukkan antara murid lelaki dengan perempuan dan ada yang tidak.  Pengisian dalam aktiviti perbarisan diselitkan dengan bacaan doa dan unsur nasihat.

Pergaulan dalam bersukan tidak dibatasi, dan dari sudut pakaian, murid-murid lelaki kelihatan kemas dan menutup aurat tetapi murid perempuan tidak memakai tudung.  Ada segelintir sehaja yang memakainya. 

Ketika murid-murid terlibat membuat persembahan di dewan atau berkumpul mengadakan aktiviti beramai-ramai, tiada batasan pergaulan.  Dalam majlis yang diraikan akan dimasukkan aktiviti tarian dan nyanyian yang bertentangan dengan budaya Islam.

Aktiviti ko-kurikulum yang diadakan menampilkan aktiviti yang tidak sepatutnya di adakan untuk murid-murid yang beragama Islam seperti kelas tarian ballet, kelas musik, kelas drama, kelab nyanyian dan sebagainya.


PANDANGAN TENTANG PELAKSANAAN KONSEP PENDIDIKAN SEPADU
 DI SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH BERKENAAN

Pelaksanaan Sepadu Dari Sudut Iklim Bilik Darjah

      Sepatutnya menurut cara yang di gariskan di dalam Islam tentang kedudukan tempat murid lelaki dan perempuan adalah dibatasi.  Walaupun dari segi pandangan umur mereka yang masih di tahap kanak-kanak, didikan sepatutnya mula diterapkan semenjak di awal persekolahan lagi. Perkara ini jangan sekali-kali diambil remeh kerana dari segi hukum, pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah tetap haram walaupun faktor umur mereka masih di tahap belum baligh. Sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta kedua-duanya perlu dipantau dalam sudut kedudukan kerusi meja murid agar terbatasnya pergaulan menurut yang dikehendaki di dalam Islam.

      Dari sudut pakaian pula, di sekolah Rendah Kerajaan sangat menitikberatkan pakaian terutama murid perempuan.  Bertudung adalah suatu kewajipan di sekolah bagi murid perempuan dan perkara ini adalah sejajar dengan tuntutan syarak.  Tetapi sayangnya, sekolah Swasta tidak mnwajibkan memakai tudung bagi murid perempuan.  Perkara ini amat dikesali kerana ianya mengasuh kanak-kanak dari kecil lagi terbiasa membuka aurat.  Sepatutnya pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan meggariskan panduan etika berpakaian bagi murid perempuan yang belajar di sekolah swasta. Sekiranya pihak sekolah tidak mengendahkannya, pihak kementerian perlu mengambil tindakan.

Pelaksanaan Sepadu Dari Sudut Bahan Pengajaran
      Bahan pengajaran terutama buku-buku teks secara tidak langsung memainkan peranan dalam penerapan nilai-nilai budaya Melayu Islam Beraja.  Alhamdulillah, semua buku-buku teks terbitan Negara Brunei Darssalam dari segi ilustrasi dan gambar-gambarnya ada sedikit sebanyak menerapkan budaya Melayu Islam Beraja itu.  Tetapi buku-buku terbitan Sekolah Swasta tidak sedemikian.  Di dalam gambar yang diperlihatkan masih terdapat perkara yang bertentangan dengan nilai budaya Melayu Islam Beraja misalnya gambar dan ilustrasi manusia yang tidak menutup aurat.  Perkara ini perlu diambil perhatian bersama.   

      Manakala bahan ICT seperti internet, kedua-dua jenis sekolah yang dibuat kajian, memberikan batasan dan sukat-sukat cara pemakaiannya mengikut kurikulumnya yang sedia ada.

Pelaksanaan Sepadu Dari Sudut Aktiviti Pengajaran Dan Pembelajaran
      Pandangan tentang pakaian guru-guru lelaki baik di sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta adalah mengikut etika perguruan.  Apa yang timbul tentang isu berpakaian ini ialah tentang pakaian guru perempuan.  Majoriti Guru-guru perempuan di sekolah-sekolah Rendah Kerajaan ketika sedang melaksanakan pengajaran adalah bersesuaian mengikut etika perguruan.  Walaupun tidak dinafikan ada juga segelintir guru perempuan yang didapati memakai baju yang menampakkan susuk tubuh walaupun bertudung. Perkara ini perlu kepada teguran untuk kesedaran guru tersebut.  Manakala pakaian guru perempuan di sekolah Swasta sangat mengecewakan. Sebahagiannya ada yang menutup aurat dan yang sebahagiannya berpakaian seperti artis terutamanya guru bangsa asing.  Pakaian adalah sangat memainkan peranan bagi guru-guru kerana guru adalah cermin masyarakat khususnya murid-murid, dimana murid-murid akan mudah mengikut corak langkah, cara dan gaya guru mereka.  Kementerian Pendidikan perlu memantau keadaan ini bersama dengan pihak dari Kementerian Hal Ehwal Ugama agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran tidak dicemari dengan dosa dan maksiat.

      Mengenai dengan budaya ucapan salam, pengamalannya di laksanakan sepenuhnya di Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan.  Ini adalah suatu amalan yang sehat untuk saling mendoakan antara warga sekolah.   Tetapi malangnya di Sekolah Rendah Swasta lebih mengagung-agungkan ucapan budaya barat yang jauh bertentangan dengan budaya kita falsafah Melayu Islam Beraja.  Perkara ini tidak boleh dibiarkan, ditakuti akan melarat dan sebati dijiwa anak generasi kita  sehingga ucapan salam pula menjadi asing bagi mereka.

Pelaksanaan Sepadu Dari Sudut Ko Kurikulum Sekolah
      Perbarisan (assembly) diadakan baik di sekolah-sekolah rendah mahupun swasta adalah bertujuan untuk mendisiplinkan murid, pergaulan sehat sesama warga sekolah dan penerapan nilai-nilai murni.  Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di lagukan yang diikuti dengan bacaan doa adalah aktiviti yang menerapkan semangat patriotisme dan mengabdi kepada Tuhan.  Hanya satu perkara yang perlu diambil perhatian iaitu di dalam acara perbarisan perlu dielakkan amalan bersorak seperti bertepuk tangan kerana amalan tersebut merupakan budaya Barat.  Sorakan perlu diganti dengan laungan “Allahu Akbar!” adalah lebih baik dan mendapat keberkatan.

      Menyentuh tentang aktiviti bersukan antara Sekolah Rendah Kerajaan  dan Sekolah Rendah Swasta didapati tidak membatasi percampuran antara murid lelaki dan murid perempuan.  Walaupun dari segi pakaian menunjukkan murid-murid di sekolah rendah Kerajaan lebih beretika seperti murid-murid perempuannya memakai tudung khusus untuk bersukan, tetapi semangat kesukanan perlu dibatasi bagi murid-murid perempuan.  Aktiviti sukan yang lasak tidak bersesuaian dengan murid perempuan kerana fizikal mereka yang tidak mengizinkan melakukan perkara sedemikian.  Tempat bersukan bagi murid lelaki dan murid perempuan perlu diasingkan, kerana aktiviti sukan murid perempuan pasti akan ada perbuatan yang tidak sesuai dipandang oleh murid lelaki.  Ini melibatkan kepada aurat yang dilandaskan oleh syarak.

      Tentang aktiviti ko kurikulum murid-murid Sekolah Rendah Kerajaan tidak begitu menyerlah berbanding dengan aktiviti ko kurikulum murid-murid sekolah Rendah Swasta. Ini kerana kebiasaan aktiviti ko-kurikulum yang diadakan di Sekolah Rendah Swasta selalu melibatkan hari-hari di luar persekolahan seperti hari Jumaat dan Ahad.  Sekolah Rendah Kerajaan tidak banyak melakukan aktiviti berkenaan di waktu tersebut.  Makanya aktiviti ko-kurikulum di Sekolah Rendah Swasta lebih banyak berbanding aktiviti ko-kurikulum di Sekolah Rendah Kerajaan.  Banyaknya aktiviti tersebut memperkenalkan aktiviti yang kurang sehat seperti  kelas tarian ballet, kelas musik, kelas drama, kelab nyanyian dan sebagainya.  Kelas dan kelab sedemikan adalah aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya kita.  Kementerian Pendidikan perlu memantau serta mempastikan kelas dan kelab sedemikian tidak diwujudkan kerana pendidikan di Negara Brunei Darussalam adalah bercorakkan falsafah Melayu Islam Beraja tidak terkecuali di Sekolah-Sekolah Swasta. 

      Oleh itu segala corak pendidikan yang tidak seiring dengan falsafah negara kita Melayu Islam Beraja, adalah sangat-sangat diharapkan kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk membuat perubahan demi menyelamatkan anak bangsa kita terjerumus ke lembah maksiat yang diwarnakan oleh budaya-budaya Barat, pastinya perkara tersebut akan berakar umbi di jiwa anak bangsa kita jika ianya dibiarkan menjadi satu budaya.









CADANGAN

  1. Sistem Pendidikan Negara Abad 21 perlu dikaji semula untuk menggarap nilai-nilai Islam di dalamnya. 

  1. Pemantauan daripada pihak Kerajaan mengenai aktiviti Sekolah-Sekolah Rendah Swasta agar corak pendidikan yang disampaikan adalah sejajar dengan falsafah negara Melayu Islam Beraja.

  1. Guru-guru perlu selalu di berikan taklimat, ceramah, motivasi dan sebagainya dari semasa ke semasa mengenai dengan syakhsiah dan etika perguruan supaya sentiasa terjaga menjadi role-model serta cermin masyarakat khususnya murid-murid sekolah.

  1. Pihak ibu bapa dan penjaga juga perlu diberikan kesedaran melalui taklimat dan motivasi untuk sama-sama bertanggungjawab menangani pendidikan anak-anak.


KESIMPULAN

      Sebagai masyarakat Melayu Brunei Darussalam yang melaksanakan ajaran-ajaran Islam di bawah pemerintahan raja yang berdaulat menegakkan hukum-hukum Allah, pendidikan sepadu adalah sepatutnya diamalkan dan dihayati di dalam sistem pendidikan negara.  Sejak di awal persekolahan inilah mula sepatutnya diterapkan disiplin budaya Islam untuk pengukuhan iman dan amalan berugama di kalangan genarasi kita yang akan menjadi pelapis warga negara di masa hadapan.  Jika perkara yang nyata sudah bertentangan dengan nilai-nilai Islam, hendaklah jangan dilengah-lengahkan lagi untuk menyekatnya.  Jadikanlah corak pendidikan kita brsepadu yang sejajar dengan falsafah Melayu Islam Beraja untuk menjadi benteng dan kekuatan menempuh cabaran di masa hadapan.


BIBLIOGRAFI

  1. Kamus Dewan, edisi keempat, 2010, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

  1. Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman, 2003, Falsafah Pendidikan Dan Kurikulum, Tanjong Malim Perak, Malaysia : Quantum Books.

  1. Ahmad Mohd Salleh, 2008, Pengajian Agama Islam & j-Qaf  Metodologi dan Pedagogi Pendidikan Untuk KPLI (Siri Pendidikan Guru), Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

  1. Ghazali Basri, 2008, Falsafah Pendidikan Islam Huraian Konsep & Aplikasi, Brunei Darussalam  : PP KUPU SB.

  1. Haji Awang Asbol bin Haji Mail, 2010, Sejarah Perkembangan Pendidikan Islam di Brunei 1950-1985,  Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  1. Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Hj Awang Mohd Jamil Al-Sufri, 2008, Satu Pemikiran Mengenai Corak Pendidikan Untuk Brunei Darussalam Berasaskan Islam: Melalui Pengalaman Dan Sejarah, Brunei Darussalam : Pusat Sejarah Brunei.

  1. Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim, 2004, Ilmu Pengetahuan Dan Tujuan Pendidikan Mengikut Pandangan Islam, Brunei Darussalam : Pusat Da’awah Islamiyah.

  1. Haji Duraman Tuah, 2001, Membangun Negara Berdasarkan Falsafah Melyu Islam Beraja Brunei Darussalam, M.I.B., Brunei Darussalam : Cityneon Display & Construction Sdn. Bhd.
  2. Omar Mohammad Al-Toumy Al-Syaibany, Prof. Dr., 1979, Falsafah Pendidikan Islam, Jakarta : Penerbit Bulan Bintang.

  1. Pengiran Hajah Hairani binti Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, 2004, Pendidikan Teras Pembinaan Bangsa, Kertas  Kerja Seminar Hari Kebangsaan.

  1. Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Bin Pengiran Haji Abd Rahman, 2011, Belia Dan Pendidikan Islam Di Brunei Darussalam, Brunei Darussalam : Pusat Da’awah Islamiyah

  1. Sharifah Alwiah Alsagoff, 1984, Falsafah Pendidikan, Selangor : Heinemann Educational Books (ASIA) LTD.

  1. Titah-Titah: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sepanjang Tahun 1991.

  1. http://www.moe.edu.bn/web/moe/institution/government?p_p_id=15&p_p_action=1&p_p_state=normal&p_p_mode=view&p_p_col_id=&p_p_col_pos=0&p_p_col_count=0&/18.3.2011












[1] Kamus Dewan, (edisi keempat), Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur, 2010, hlm : 816
[2] Sharifah Alwiah Alsagoff, Falsafah Pendidikan, Heinemann Educational Books (ASIA) LTD,  Selangor, 1984, hlm : 58
[3] Kamus Dewan (edisi keempat), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2010, hlm : 350.
[4]Abu Bakar Nordin Dan Ikhsan Othman, Falsafah Pendidikan Dan Kurikulum, Quantum Books, Tanjong Malim Perak, Malaysia, 2003, hlm : 31.
[5] Ahmad Mohd Salleh, Pengajian Agama Islam & j-Qaf  Metodologi dan Pedagogi Pendidikan Untuk KPLI (Siri Pendidikan Guru), Oxford Fajar Sdn. Bhd. Shah Alam , 2008, hlm : 3.
[6] Ibid.
[7] Ibid.
[8] Kamus Dewan, edisi keempat, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur, 2010, hlm : 1112.
[8] Sharifah Alwiah Alsagoff, Falsafah Pendidikan, Heinemann Educational Books (ASIA) LTD,  Selangor, 1984, hlm : 58.
[9]Dr. Haji Awang Mahmud Saedon, Jejak-Jejak…,Akademi Pengajian Brunei Universiti Brunei Darussalam, Negara Brunei Darussalam, 2003, hlm 275.
[10]Ahmad Mohd Salleh, Pengajian Agama Islam & j-Qaf  Metodologi dan Pedagogi Pendidikan Untuk KPLI (Siri Pendidikan Guru), Oxford Fajar Sdn. Bhd. Shah Alam , 2008, hlm : 2.
[11] Ibid, hlm : 3.
[12] Titah-Titah: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sepanjang Tahun 1991, hlm:94.
[13] Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Hj Awang Mohd Jamil Al-Sufri, Satu Pemikiran Mengenai Corak Pendidikan Untuk Brunei Darussalam Berasaskan Islam: Melalui Pengalaman Dan Sejarah, Pusat Sejarah Brunei, Brunei Darussalam, 2008, hlm : 330.
[14] Dr. Haji Awang Mahmud Saedon, Jejak-Jejak…,Akademi Pengajian Brunei Universiti Brunei Darussalam, Negara Brunei Darussalam, 2003, hlm 275.
[15] Haji Duraman Tuah, Membangun Negara Berdasarkan Falsafah Melyu Islam Beraja Brunei Darussalam, M.I.B., Cityneon Display & Construction Sdn. Bhd, 2001, hlm :79.
[16] Dr. Haji Awang Mahmud Saedon, Jejak-Jejak…,Akademi Pengajian Brunei Universiti Brunei Darussalam, Negara Brunei Darussalam, 2003, hlm 278.


[17] Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Hj Awang Mohd Jamil Al-Sufri, Satu Pemikiran Mengenai Corak Pendidikan Untuk Brunei Darussalam Berasaskan Islam: Melalui Pengalaman Dan Sejarah, Pusat Sejarah Brunei, Brunei Darussalam, 2008, hlm : 264.
[18]http://www.moe.edu.bn/web/moe/institution/government?p_p_id=15&p_p_action=1&p_p_state=normal&p_p_mode=view&p_p_col_id=&p_p_col_pos=0&p_p_col_count=0&/18.3.2011
[19] Pengiran Hajah Hairani binti Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Pendidikan Teras Pembinaan Bangsa, Kertas  Kerja Seminar Hari Kebangsaan, 12-14 Mac 2004, hlm : 13-15.
[20] Ibid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan